Petua Hapuskan Pepijat Tilam @ Bed Bug

Sunday, October 15, 2023 0 comments


Langkah 1 : Periksa kesemua tempat yang berpotensi untuk dijangkiti pepijat'

Pemeriksaan secara menyeluruh di semua tempat yang berpotensi untuk dijangkiti pepijat perlu dilakukan di serata kawasan rumah. Langkah ini amat penting bagi memastikan anda betul-betul berjaya untuk menghapuskan pepijat dan masalah ini tidak akan berulang kembali.

Kebiasaannya, kawasan tumpuan pepijat adalah di sekitar kawasan tidur anda kerana ia merupakan sumber makanan mereka, iaitu darah kita sendiri! Walaupun begitu, kawasan lain seperti celah kusyen, sofa, perabot juga perlu diperhatikan kerana boleh menjadi tempat persembunyian ‘drakula ’kecil ini. Disebabkan bentuk fizikal yang leper dan kecil, pepijat mudah bersembunyi di celahan dan ruang yang kecil.

Memandangkan pepijat kebiasaannya aktif pada waktu malam, gunakan lampu suluh atau kanta pembesar untuk mengesan kewujudan pepijat di kawasan yang berpotensi untuk terjejas.

Cara mengenal pasti tanda-tanda kewujudan pepijat di kawasan yang terjejas:

  • Tompokan darah pada bantal atau cadar di tempat tidur.
  • Kesan warna seolah-olah karat pada tilam, cadar dan juga dinding.
  • Bau hapak.
  • Tompokan najis, telur pepijat pada kawasan yang terjejas.
  • Pepijat hidup yang kebiasaannya akan ditemui dalam kumpulan

Setelah anda berjaya mengenal pasti kawasan yang terjejas, anda boleh merangka pelan tindakan anda dan cara yang terbaik untuk menghapuskan kawasan yang terjejas.


Langkah 2 : Mulakan langkah penghapusan

Anda boleh membuat pilihan langkah penghapusan secara semulaj jadi, menggunakan bahan kimia ataupun menggunakan khidmat profesional jika masalah pepijat ini sudah berada dalam keadaan yang terlampau teruk.

Bagi menghilangkan pepijat, terdapat beberapa alternatif buatan sendiri (DIY) yang anda boleh cuba lakukan iaitu:

Haba

Cara ini paling disyorkan sebagai alternatif pertama yang boleh dilakukan kerana paling mudah dan cepat. Basuh fabrik seperti cadar, selimut dan sarung bantal dengan menggunakan mesin basuh pada suhu 60 darjah celsius untuk menghapuskan pepijat. Cara ini berkesan bagi menghilangkan pepijat katil yang sering hinggap dan bersarang di fabrik, Perlu diingatkan, jangan sesekali membasuh fabrik lain yang tidak terjejas pada waktu yang sama untuk mengelakkan pepijat merebak.

Dengan menggunakan konsep haba yang sama, anda boleh menjemur tilam atau perabot anda di bawah cahaya matahari. Namun begitu, cara ini hanya sesuai dilakukan jika anda mempunyai ruang yang luas di kawasan rumah anda.

Serai wangi

Serai wangi tidak asing lagi sebagai cara semula jadi untuk menghilangkan pepijat. Ia tidak akan membunuh pepijat, tetapi baunya dikatakan tidak digemari oleh pepijat dan akan dihindari oleh serangga menghisap darah ini. Caranya, semburkan sahaja cecair serai wangi  di kawasan yang terjejas.

Dettol

Sebagai produk yang membunuh bakteria, cecair pencuci tangan jenama Dettol yang dibancuh bersama air panas boleh digunakan untuk membasuh baju anda ataupun semburkan di mana-mana celahan kawasan terjejas yang dirasakan sesuai. Jika anda kurang sukakan bau cecair Dettol ini yang agak kuat, anda boleh menggunakan serai wangi dengan konsep yang sama.

Soda bikarbonat

Apa kata gunakan sahaja bahan yang mudah didapati di dapur anda. Caranya, letakkan soda bikarbonat di dalam mangkuk. Gunakan berus yang sesuai dan sapukan di kawasan yang terjejas. Biarkan selama seminggu untuk membunuh pepijat dan telurnya.Cara ini paling sesuai digunakan pada kawasan rekahan yang kurang sesuai menggunakan alternatif lain.

Selain itu, produk kimia atau racun pepijat yang dijual juga boleh digunakan bagi menghapuskan pepijat ini. Namun, proses menggunakan bahan kimia dan racun ini dinasihatkan menggunakan khidmat profesional yang lebih pakar.


Langkah 3: Vakum dengan teliti di seluruh kawasan yang terjejas

Proses vakum ini mungkin nampak remeh dan mudah, tetapi langkah ini perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan tiada kawasan yang tertinggal. Berikut adalah beberapa tips yang boleh digunakan bagi memastikan proses vakum ini dilakukan dengan betul dan teliti.

  • Pastikan tahap sedutan vakum pada tahap maksima untuk memastikan tidak ada pepijat yang tertinggal.
  • Jika anda mempunyai pengewap pakaian, ia juga boleh digunakan pada permukaan selepas memvakum bagi menghapuskan telur dan pepijat yang mungkin masih ada.
  • Pastikan semua kawasan dan barang yang berdekatan dengan kawasan yang terjejas divakum.
  • Buang beg pembersih hampagas segera selepas memvakum dan pastikan sampah dan pepijat yang disedut dibuang ke dalam plastik dan diikat dengan kemas bagi memastikan tiada yang terlepas.
  • Jika boleh, gantikan penapis pada vakum dengan penapis baharu. Vakum pula boleh dicuci dengan tuala lembap yang direndam dalam air sabun bagi memastikan risiko minima bagi sebarang pepijat untuk tertinggal.
  • Proses vakum secara kerap dan berkala akan memastikan rumah anda kurang berisiko untuk dijangkiti pepijat lagi.

Bagi memastikan anda betul-betul berjaya menghapuskan pepijat, pemantauan perlu dilakukan secara berkala. Anda perlu pastikan punca-punca utama dari mana datangnya pepijat ini tidak diulang kembali. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah:

  • Masukkan hujung cadar ke bawah tilam. Jangan gunakan tilam yang menyentuh lantai.
  • Jauhkan katil anda dari dinding dan buat ruang antara katil meja sisi.
  • Letakkan perangkap pepijat khas (boleh didapati di kebanyakan kedai perkakasan) di kaki katil. Ini akan memerangkap makhluk parasit tersebut dan membolehkan anda memantau kitaran pembiakannya dengan matlamat mengurangkan pepijat dalam minggu-minggu seterusnya.

Sekiranya masalah ini masih lagi berlanjutan, mungkin tiba masanya untuk anda mendapatkan khidmat profesional di rumah anda. Selamat mencuba!


0 comments:

Post a Comment